PENJAWAT AWAM JAGA IMEJ, BANGKIT DALAM ERA PASCA PANDEMIK - YBM TENGKU
SETIAUSAHA Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja mengingatkan kakitangan kerajaan supaya sentiasa menjaga imej penjawat awam Negeri Terengganu dengan menjadi contoh dan rujukan kepada jabatan serta agensi kerajaan seluruh Terengganu.
Beliau berkata, setelah hampir dua tahun bekerja dari rumah dengan waktu kerja anjal dan kurang pemantauan oleh jabatan, semua pegawai dan kakitangan diharap dapat menyusun semula jadual kehidupan dan bangkit semula daripada “cuti panjang” untuk meneruskan kerja seperti biasa.
"Antara perkara yang perlu disemak dan ditekankan oleh ketua-ketua jabatan pasca pandemik ini adalah kehadiran bekerja, cuti rehat/cuti kuarantin, waktu rehat, waktu minum kopi, pakaian ke pejabat serta tugasan pejabat yang tidak tertangguh.
"Saya menyeru supaya semua ketua jabatan mengambil berat perkara ini terutamanya di Wisma Darul Iman ini yang dijadikan contoh dan rujukan bagi jabatan dan agensi di luar sana. Jadi sama-samalah kita menjaga imej penjawat awam Negeri Terengganu ini," kata beliau ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2022, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (6 Julai 2022).
Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan Negeri, YB Tuan Haji Rozali Salleh dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri, YBhg. Dato’ Zulkifli Ali.
YBM Tengku juga mengingatkan kakitangan kerajaan supaya meneruskan kehidupan demi kelangsungan ekonomi negara dan juga kepentingan rakyat.
Tambah beliau, suka atau tidak kakitangan kerajaan perlu berubah mengikut budaya yang baharu ini, antaranya dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
"Kita sedia maklum bahawa kita masih lagi di dalam situasi endemik Covid-19 yang masih lagi mengancam kehidupan harian kita, ditambah pula dengan wabak-wabak baru seperti Influenza dan MonkeyPox yang juga sangat merbahaya," kata beliau.
Menurut YBM Tengku lagi, walau apa jua situasi yang melanda, sebagai penjawat awam harus terus menjaga prestasi kerja supaya tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat dan kerajaan malah mungkin berkhidmat dengan lebih baik lagi.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |